1. Tujuan
Dana khas bagi menggalakkan kegiatan inovasi ini menyediakan pembiayaan untuk menampung keperluan kecilan pada peringkat awal kerja-kerja inovasi oleh staf akademik UNIMAS. Ini termasuklah pembiayaan untuk langkah ‘proof-of-concept’ atau tempahan/pembelian runcit bagi pemasangan hasilan seni dan rekacipta yang inovatif.
2. Justifikasi
Kemudahan dana awam dalam negara yang tersedia bagi kegiatan penyelidikan dan inovasi di IPT adalah terhad kepada Geran Penyelidikan Fundamental (FRG, diurus oleh KPT), dan Geran ScienceFund dan TechnoFund (MOSTI). Antara kekangan yang jelas berkaitan dengan dana-dana ini ialah:
a. Setiap cadangan projek penyelidikan harus mempunyai ‘proof-of-concept’ untuk membuktikan ‘doability’nya. Ini lazimnya memerlukan penyelidikan awal (preliminary study/testing/design);
b. Khusus bagi TechnoFund, rakan industri harus ada. Justeru, soal ‘confidentiality’ kerapkali menghambat perkongsian idea. ‘Disclosure’ kepada rakan industri juga dikhuatiri, dan ini menjejaskan peluang pembiayaan oleh pihak industri;
c. Kuantum terkecil yang sesuai dipohon, berdasarkan kerencaman proses pernohonan mengikut amalan sekarang, adalah sekitar RM25,000 bagi FRG dan RM150,000 bagi geran MOSTI.
Melihat kepada kekangan di atas serta desakan pihak-pihak berkepentingan terhadap prestasi IPTA dalam inovasi, satu dana khas telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan dan mengatasi masalah yang dimaksudkan pada (a)-(c) di atas.
3. Had Pembiayaan
Amaun yang boleh diluluskan untuk setiap projek adalah tidak melebihi RM10,000. Walau bagaimanapun geran maksimum sehingga RM20,000 boleh dipertimbang oleh Naib Canselor bagi kes-kes khusus.
4. Keputusan
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bil. 6/2006 Ke-114 pada 12 Oktober 2006 telah meluluskan pengwujudan dana di atas dan mensyaratkan supaya proses meluluskan dana ini harus mengikuti prosedur yang sama seperti meluluskan geran penyelidikan lain.






